Tarikh 05 Julai 2000 merintis lembaran pertama Kolej Komuniti apabila Jemaah Menteri telah mempertimbangkan memorandum yang telah dikemukakan oleh Menteri Pendidikan pada waktu itu mengenai konsep penubuhan dan pelaksanaan Kolej Komuniti di setiap kawasan parlimen. Kolej Komuniti berperanan menjadi institusi yang menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat dan memberi peluang pendidikan kepada lepasan menengah sebelum ke pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

 

Kolej Komuniti Bandar Penawar (KKBP) telah dibuka secara rasminya pada 01 Mac 2003 dengan menumpang di bangunan Sekolah Menengah Teknik Kota Tinggi dengan kakitangan perintis seramai 8 orang. Kini, Kolej Komuniti Bandar Penawar telah beroperasi sepenuhnya di kampus tetap dengan keluasan 25 ekar yang terletak di Jalan Ungku Abdul Aziz, Bandar Penawar, Johor di mana terletak di bahagian tenggara Kota Tinggi, dalam wilayah kecil Pengerang. Pada 2018, program Sijil Teknologi Maklumat dari KKBP dipindahkan ke Kolej Komuniti Cawangan Gelang Patah (KKcGP). Peranan utama KKBP dan KKcGP adalah menyediakan pendidikan dan latihan kepada komuniti setempat termasuk memberi peluang dan laluan alternatif kepada lepasan menengah dan pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan. KKBP bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kemahiran serta ilmu komuniti setempat malah membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka.